Ahad, 17 Januari 2016

10 tahun pengalaman mengajar mata pelajaran Bahasa Inggeris menengah rendah dan kemudian mengajar Bahasa Malaysia menengah rendah sejak 2005 sehingga kini banyak pengalaman boleh dikongsi bersama. Rakan-rakan sejawatan, para pelajar please feel free to share and comment. Yang baik dari Allah, kelemahan itu dari saya semata-mata....

SOALAN DAN CONTOH JAWAPAN KARANGAN BAH. D, PT3 2015

Jawapan yang saya gunakan adalah jawapan oleh pelajar terbaik saya...Norafifi ( Bashyah! )

Semangat patriotik seharusnya dipupuk dalam jiwa anak-anak sejak mereka kecil lagi.
Huraikan usaha-usaha yang wajar dilakukan untuk memupuk semangat patriotik dalam kalangan generasi muda.



     Semangat patriotik merupakan semangat cinta akan negara yang wajib dipupuk dalam diri setiap insan. Namun semangat terpuji ini kian luntur dalam kalangan generasi muda. Perkara ini sering diwar-warkan dalam berita mahupun surat khabar seolah-olah tiada kesudahannya. Sebagai marhaen di Malaysia, kita seharusnya memikirkan dan melaksanakan usaha-usaha yang wajar dilakukan untuk memupuk semangat patriotik di kalangan generasi muda.

     Sudah tentu, terdapat pelbagai cara yang dapat kita lakukan untuk memupuk semangat patriotik dalam kalangan generasi muda. Antaranya ialah, peranan ibu bapa. Ibu bapa merupakan orang yang memainkan peranan paling penting untuk menanamkan perasaan cinta akan negara dalam sanubari anak-anak. Ibu bapa juga hendaklah menunjukkan contoh dan teladan yang baik kepada anak-anak mereka kerana ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Contohnya, ibu bapa haruslah mengibarkan bendera Malaysia pada sambutan Hari Kebangsaan dan mengunjungi tempat-tempat bersejarah di Malaysia bersama dengan anak-anak.

     Selain itu, pihak sekolah juga memainkan peranan yang amat penting kerana salah satu cara untuk memupuk semangat patriotik dalam kalangan generasi muda adalah dengan memupuk semangat tersebut dari bangku sekolah lagi. Hal ini adalah untuk memastikan agar semangat cintakan semangat cinta akan negara akan sentiasa sebati dalam diri pelajar. Semangat ini harus dipupuk sedari kecil supaya dapat terus diamalkan dan dikekalkan sehingga dewasa. Contohnya, pihak sekolah boleh menganjurkan program patriotik seperti mewarna poster, pertandingan lagu patriotik, mencipta sajak patriotik, pertandingan menghias kelas bertemakan patriotisme dan lain-lain lagi.

     Seterusnya, kempen secara besar-besaran wajarlah diadakan melalui media massa. Kempen berkaitan dengan semangat patriotik dapat memberikan kesedaran tentang betapa signifikannya semangat patriotik khususnya kepada generasi muda. Contohnya, kempen-kempen seperti 'Belilah Barangan Buatan Malaysia' dan 'Cintai Bahasa Kita' haruslah diadakan. Dengan adanya kempen-kempen seperti ini, secara langsung semangat patriotik dapat dipupuk dalam kalangan generasi muda. Oleh itu, kempen secara besar-besaran haruslah diadakan bagi mengekalkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat dari setiap generasi di Malaysia.

    Di samping itu, media elektronik boleh menayangkan filem-filem seumpama 'Bukit Kepong' dan 'Paloh' serta drama-drama yang berkaitan dengan semangat cinta akan negara. Hal ini kerana, generasi muda senang tertarik dengan alternatif seperti filem dan drama dendan mengikuti arus kemodenan yang sekarang ini kemudahan elektronik digunakan dengan meluas. Perkara ini bukan sahaja dapat melahirkan semangat patriotik malahan dapat mewujudkan perpaduan antara kaum di Malaysia. Oleh itu, penayangan filem seperti ini merupakan alternatif yang sangat baik bagi memupuk semangat patriotik dalam kalangan generasi muda.

    Konklusinya, semangat patriotik merupakan suatu oblogasi kepada setiap diri kita agar dipupuk dalam sanubari khususnya dalam kalangan generasi muda. Generasi muda terdiri daripada mereka yang akan memimpin negara kita ke arah Malaysia yang berjaya pada suatu hari nanti. Tanpa semangat patriotik, mustahil untuk melahirkan Malaysia yang sentiasa berjaya, merdeka dan berdaulat serta masa hadapan negara kita dan rakyatnya mungkin gelap. Penutup wacana, cintailah negara kita.


Woww...saya bagi markah 30/30 untuk pelajar saya ini! 

Apa pendapat anda?




Tiada ulasan:

Catat Ulasan