Ahad, 17 Januari 2016

Soalan 3 : PT3 2015 ( Surat Kiriman Tidak Rasmi )

SOALAN : Baru-baru ini anda telah menerima sepucuk surat daripada seorang rakan yang tinggal di luar negara. Rakan anda itu ingin mengetahui tentang sambutan bulan kemerdekaan yang telah diadakan di sekolah anda.
Balas surat rakan anda tersebbut dengan menceritakan aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan di sekolah anda.


No. 20, Jalan SS 2/56, 
             Taman Indah Jaya,       
Selangor, Darul Ehsan.

02 OKTOBER 2015    

       Menemui sahabatku, Mary McQueen yang kini berada di Australia. Apa khabar saudari? Saya harap saudari berada dalam keadaan sihat. Saya di sini sihat walafiat. 

Saudari,
        Surat saudari sudah saya terima dua hari yang lalu. Dalam surat itu, saudari meminta saya untuk menceritakan serba sedikit tentang aktiviti-aktiviti yang dijalankan sempena Bulan Kemerdekaan di sekolah saya. Saya berbesar hati untuk menceritakannya kepada saudari.

    Untuk pengetahuan saudari, tarikh 31 Ogos merupakan tarikh keramat bagi negara saya, iaitu Malaysia. Oleh itu, sekolah saya telah menganjurkan sambutan Bulan Kemerdekaan bagi meraikan Hari Kemerdekaan. Sambutan ini dijalankan sepanjang bulan Ogos. Pengetua sekolah saya telah merasmikan majlis pelancaran Bulan Kemerdekaan tersebut. Sambutan ini bertujuan untuk melahirkan semangat cinta akan negara dalam diri pelajar. 

     Pelbagai aktiviti menarik telah diadakan sepanjang Bulan Kemerdekaan berlangsung. Antaranya, tarian tradisional Kaum Melayu, Cina dan India. Tamsilnya, tarian zapin dari Kaum Melayu, tarian kipas dari Kaum Cina dan tarian Bharatanatyam dari kaum India. Sebelum pertandingan ini bermula, semua peserta bertungkus-lumus berlatih dan membuat persiapan dengan lengkap. Selain itu lagu  patriotik juga merupakan acara yang dipetandingkan. Pelbagai kreativiti dapat dilihat dari setiap kumpulan.

      Selain itu, pertandingan deklamasi sajak 'Merdeka' turut diadakan. Saya merupakan salah seorang peserta dalam pertandingan ini. Bagi saya, ini merupakan pertandingan yang sangat mencabar kerana setiap peserta dikehendaki mencipta sajak tanpa merujuk mana-mana buku atau sumber. Bukan itu sahaja, peserta juga tidak dibenarkan bertanya kepada guru.

     Pada acara penutupan, semua guru serta pelajar berkumpul di dewan bagi penyampaian hadiah. Saya mula bedebar-debar apabila tiba saat penyampaian hadiah bagi pertandingan deklamasi sajak diumumkan. Saya bimbang saya tidak mendapat apa-apa tempat kerana ini merupakan pertama kali menyertai perrtandingan seumpamanya. Apabila nama saya dipanggil, saya berasa sangat gembira kerana saya berjaya merangkul tempat pertama. Seblum bersurai, semua pelajar diminta melaungkan kalimah 'Merdeka' dengan penuh bersemangat. Hal ini dapat menaikkan lagi semangat patriotik yang ada di kalangan pelajar.

Saudari,
      Nampaknya sampai di sini sahaja dahulu, kalau saudari berpeluang untuk melawat negara saya ketika Hari Kemerdekaan diadakan saya pasti akan membawa saudari untuk menyaksikan kemeriahan sambutan tersebut. Dengan itu, saudari akan lebih mengetahui aktiviti-aktiviti yang dijalankan. Saya pasti saudari akan menyukainya. Akhir kata, sambutlah salam dari saya sekeluarga untuk saudari di sana.

Yang benar,

Nadhirah  


Jawapan pelajar saya, Dg. Nadhirah...29/30...

Cikgu bangga dengan kamu!



               


10 tahun pengalaman mengajar mata pelajaran Bahasa Inggeris menengah rendah dan kemudian mengajar Bahasa Malaysia menengah rendah sejak 2005 sehingga kini banyak pengalaman boleh dikongsi bersama. Rakan-rakan sejawatan, para pelajar please feel free to share and comment. Yang baik dari Allah, kelemahan itu dari saya semata-mata....

SOALAN DAN CONTOH JAWAPAN KARANGAN BAH. D, PT3 2015

Jawapan yang saya gunakan adalah jawapan oleh pelajar terbaik saya...Norafifi ( Bashyah! )

Semangat patriotik seharusnya dipupuk dalam jiwa anak-anak sejak mereka kecil lagi.
Huraikan usaha-usaha yang wajar dilakukan untuk memupuk semangat patriotik dalam kalangan generasi muda.



     Semangat patriotik merupakan semangat cinta akan negara yang wajib dipupuk dalam diri setiap insan. Namun semangat terpuji ini kian luntur dalam kalangan generasi muda. Perkara ini sering diwar-warkan dalam berita mahupun surat khabar seolah-olah tiada kesudahannya. Sebagai marhaen di Malaysia, kita seharusnya memikirkan dan melaksanakan usaha-usaha yang wajar dilakukan untuk memupuk semangat patriotik di kalangan generasi muda.

     Sudah tentu, terdapat pelbagai cara yang dapat kita lakukan untuk memupuk semangat patriotik dalam kalangan generasi muda. Antaranya ialah, peranan ibu bapa. Ibu bapa merupakan orang yang memainkan peranan paling penting untuk menanamkan perasaan cinta akan negara dalam sanubari anak-anak. Ibu bapa juga hendaklah menunjukkan contoh dan teladan yang baik kepada anak-anak mereka kerana ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Contohnya, ibu bapa haruslah mengibarkan bendera Malaysia pada sambutan Hari Kebangsaan dan mengunjungi tempat-tempat bersejarah di Malaysia bersama dengan anak-anak.

     Selain itu, pihak sekolah juga memainkan peranan yang amat penting kerana salah satu cara untuk memupuk semangat patriotik dalam kalangan generasi muda adalah dengan memupuk semangat tersebut dari bangku sekolah lagi. Hal ini adalah untuk memastikan agar semangat cintakan semangat cinta akan negara akan sentiasa sebati dalam diri pelajar. Semangat ini harus dipupuk sedari kecil supaya dapat terus diamalkan dan dikekalkan sehingga dewasa. Contohnya, pihak sekolah boleh menganjurkan program patriotik seperti mewarna poster, pertandingan lagu patriotik, mencipta sajak patriotik, pertandingan menghias kelas bertemakan patriotisme dan lain-lain lagi.

     Seterusnya, kempen secara besar-besaran wajarlah diadakan melalui media massa. Kempen berkaitan dengan semangat patriotik dapat memberikan kesedaran tentang betapa signifikannya semangat patriotik khususnya kepada generasi muda. Contohnya, kempen-kempen seperti 'Belilah Barangan Buatan Malaysia' dan 'Cintai Bahasa Kita' haruslah diadakan. Dengan adanya kempen-kempen seperti ini, secara langsung semangat patriotik dapat dipupuk dalam kalangan generasi muda. Oleh itu, kempen secara besar-besaran haruslah diadakan bagi mengekalkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat dari setiap generasi di Malaysia.

    Di samping itu, media elektronik boleh menayangkan filem-filem seumpama 'Bukit Kepong' dan 'Paloh' serta drama-drama yang berkaitan dengan semangat cinta akan negara. Hal ini kerana, generasi muda senang tertarik dengan alternatif seperti filem dan drama dendan mengikuti arus kemodenan yang sekarang ini kemudahan elektronik digunakan dengan meluas. Perkara ini bukan sahaja dapat melahirkan semangat patriotik malahan dapat mewujudkan perpaduan antara kaum di Malaysia. Oleh itu, penayangan filem seperti ini merupakan alternatif yang sangat baik bagi memupuk semangat patriotik dalam kalangan generasi muda.

    Konklusinya, semangat patriotik merupakan suatu oblogasi kepada setiap diri kita agar dipupuk dalam sanubari khususnya dalam kalangan generasi muda. Generasi muda terdiri daripada mereka yang akan memimpin negara kita ke arah Malaysia yang berjaya pada suatu hari nanti. Tanpa semangat patriotik, mustahil untuk melahirkan Malaysia yang sentiasa berjaya, merdeka dan berdaulat serta masa hadapan negara kita dan rakyatnya mungkin gelap. Penutup wacana, cintailah negara kita.


Woww...saya bagi markah 30/30 untuk pelajar saya ini! 

Apa pendapat anda?