KELEBIHAN-KELEBIHAN BUAH-BUAHAN TEMPATAN
Malaysia terkenal dengan buah-buahan
tempatannya. Buah-buahan tempatan ialah buah-buahan yang berasal daripada
negara kita. Terdapat pelbagai jenis buah-buahan tempatan, seperti buah
manggis, buah betik, buah rambutan, dan lain-lain lagi. Persoalannya, apakah
kelebihan-kelebihan buah-buahan tempatan ini?
Antara
kelebihan buah-buahan tempatan ialah buah-buahan tempatan mengandungi banyak
khasiat. Khasiat dan vitamin yang terkandung dalam buah-buahan tempatan kita
standing dengan buah-buahan yang diimport. Misalnya, buah jambu batu
mengandungi vitamin C yang tinggi dapat meningkatkan antibodi badan dan buah
pisang pula boleh membantu pencernaan perut. Jelaslah di sini bahawa
buah-buahan tempatan memang banyak khasiatnya.
Seterusnya,
buah-buahan tempatan juga mudah didapati. Buah-buahan tempatan mudah didapati
dan masih segar terutama pada musim buah-buahan. Pokok buah-buahan seperti
rambutan, betik, dan cempedak biasanya ditanam di sekitar rumah kita.
Berbanding dengan buah-buahan yang diimport hanya boleh didapati di
pasaraya-pasaraya dan sudah tentu tidak sesegar buah-buahan tempatan.
Selain
itu, harga buah-buahan tempatan juga lebih murah jika dibandingkan dengan
buah-buahan yang diimport. Hal ini
kerana, buah-buahan tempatan tidak memerlukan kos yang tinggi untuk
dipasarkan. Kos penghantaran buah-buahan tempatan tidak setinggi kos yang
diperlukan untuk mengimport buah-buahan seperti epal, anggur, kiwi dan
sebagainya.
Di samping itu,
buah-buahan tempatan juga dapat membantu meningkatkan ekonomi negara. Apabila
kita lebih gemar memilih buah-buahan tempatan, ini akan meningkatkan pendapatan
pekebun-pekebun buah-buahan tempatan. Tambahan
lagi, buah-buahan seperti nanas dan rambutan yang ditinkan telah berjaya
dieksport ke Arab Saudi dan Amerika Syarikat. Jelaslah di sini bahawa
buah-buahan tempatan dapat membantu meningkatkan pendapatan negara.
Tuntasnya,
memang tidak dinafikan lagi bahawa buah-buahan tempatan mempunyai banyak
kelebihan. Oleh itu, wajarlah kita menyahut seruan kerajaan untuk Kempen
Makanlah Buah-buahan Tempatan, seperti kata pepatah tak kenal, maka tak cinta. Memilih dan memakan buah-buahan tempatan
tempatan bukan sahaja dapat meningkatkan tahap kesihatan kita malahan dapat
membantu menjana ekonomi negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan